Perolehan Kerajaan - Peruntukan Perolehan

Sambung dari sini

Nota : Aku saja je tulis ni. Mungkin ramai tak tau kan. Mungkin ramai gak yang tau.

Dari post yang terdahulu, aku ada terangkan serba sedikit tentang tatacara perolehan kerajaan (yang aku tahu), so, dalam post ini, aku cuba terangkan serba sedikit dari mana peruntukan ini diperolehi.

Kesemua peruntukan untuk perolehan kerajaan diperolehi daripada Perbendaharaan Malaysia yang mana peruntukan ini akan dibahagikan kepada belanjawan dan vot-vot yang tertentu. Terdapat 2 peruntukan utama yang biasanya digunakan untuk membuat perolehan iaitu Belanjawan Mengurus dan menerusi Rancangan Malaysia. Belanjawan Mengurus merupakan peruntukan yang diperolehi oleh setiap Kementerian/Jabatan/Agensi/Pusat Perkhidmatan pada setiap tahun. Setiap tahun, sebelum Belanjawan Negara dibentangkan pegawai-pegawai yang berkenaan akan membuat belanjawan tentang perolehan yang akan dilakukan untuk tahun berkenaan.

Rancangan Malaysia merupakan peruntukan yang paling besar diperolehi untuk membeli aset-aset baru. Kebiasaannya, aset utama Kementerian/Jabatan/Agensi/Pusat Perkhidmatan diperolehi menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia. Tender-tender yang bernilai jutaan ringgit kebiasaannya adalah di bawah Rancangan Malaysia. Tidak seperti Belanjawan Mengurus yang perlu dihabiskan pada tahun berkenaan (atau lebih tepat sebelum Oktober setiap tahun), peruntukan di bawah Rancangan Malaysia adalah sah untuk tempoh hampir 5 tahun. Sebagai contoh peruntukan Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9) adalah perlu dibelanjakan sebelum pertengahan 2010.

Terdapat juga peruntukan-peruntukan khas yang digunakan bagi membuat perolehan seperti baru-baru ini Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh YB Dato' Seri Najib (Perdana Menteri Malaysia).

Setiap peruntukan ini akan dipecahkan kepada vot-vot tertentu (yang ditetapkan oleh Perbendaharaan Malaysia). Vot-vot ini adalah bagi memudahkan pengurusan peruntukan tersebut. Terdapat vot untuk urusan perolehan aset, 'maintenance', emulomen, dan lain-lain. Vot-vot ini selalunya dipantau oleh Jabatan/Bahagian/Unit kewangan sesebuah Kementerian/Agensi/Jabatan Kerajaan bagi mengelakkan Kementerian/Agensi/Jabatan Kerajaan terlebih guna sesuatu peruntukan (overspend) atau terkurang guna sesuatu peruntukan.

Jika sesuatu Kementerian/Agensi/Jabatan Kerajaan terkurang guna dan masih tidak menggunakan sebahagian besar dari peruntukan yang diberikan, satu memorandum akan dikeluarkan. Jika masih tidak digunakan sehingga tarikh yang dinyatakan di dalam memorandum, peruntukan akan ditarik atau permohonan peruntukan untuk tahun hadapan akan dipotong nilainya. Disebabkan itulah, banyak Kementerian/Agensi/Jabatan kerajaan yang murah berbelanja pada akhir tahun.

Itulah serba sedikit yang aku tahu tentang peruntukan perolehan. Kalau ada silap dan salah boleh dinyatakan di ruangan komen.

No comments: