Pengaturcaraan 101

Pengaturcaraan merupakan salah satu perkara yang penting jika menuntut ilmu yang berasaskan bidang Sains Komputer. Pengaturcaraan juga merupakan 'tembok' yang menentukan sama ada seseorang pelajar itu dapat dilatih dengan ilmu Sains Komputer atau tidak. Dan kebanyakan kertas-kertas pembelajaraan dalam bidang Sains Komputer menjurus kepada pengaturcaraan secara khususnya dan amnya.

Pengaturcaraan dapat digambarkan sebagai perkara yang dilakukan untuk menghasilkan sesuatu objek. Sebagai contoh, jika kita ingin membina rumah, salah satu proses dalam membina rumah itu adalah terdiri daripada pengaturcaraan. Integrated Development Environment (IDE) yang digunakan bagi membangunkan program dapat diibaratkan sebagai tukul, gergaji dan lain-lain perkakasan yang kita gunakan bagi membangunkan rumah. Sintaks yang terdapat dalam sesuatu bahasa dapat diibaratkan dengan syarat-syarat yang diperlukan bagi membina rumah. Sebagai contoh, kita memerlukan simen bagi melekatkan bata-bata di tempat yang sepatutnya.

Seperti juga pembinaan rumah, semakin banyak fungsi yang perlu dimasukkan ke dalam sesuatu program, semakin kompleks sesuatu program. Disebabkan itulah sebelum kita membangunkan sesuatu program, kita perlu mempunyai rekabentuk program yang dihasilkan melalui Kitar Hayat Pembangunan Perisian ("Software Development Life Cycle"). Jika kita lihat di dalam SDLC pengaturcaraan hanyalah satu bahagian daripada 4 bahagian yang ada dalam SDLC iaitu Analisis, Rekabentuk, Pengaturcaraan dan Pengujian. Jika saya mempunyai peluang, saya akan menerangkan tentang SDLC dengan lebih lanjut di dalam artikel yang seterusnya.

Kebanyakan kumpulan pembangunan perisian gagal melaksanakan SDLC dalam sesuatu pembangunan perisian. Mengapa agaknya? Hal ini kerana tekanan dari pengguna yang mahukan sesuatu program dalam tempoh yang singkat. Jadi artikel ini dan artikel-artikel seterusnya (insya-Allah jika saya masih sihat dan sempat saya akan menulis artikel-artikel lain) adalah untuk menerangkan konsep pengaturcaraan (dari asas) dan SDLC dalam bahasa yang mudah.

Berbalik kepada pengaturcaraan. Jika dipelajari dalam Pengaturcaraan 101 maka para pensyarah akan menerangkan bahawa ada bahasa generasi ketiga, keempat dan lain-lain. Pada pendapat saya, generasi-generasi bahasa tidak penting berbanding dengan jenis bahasa yang kita ada. Secara amnya terdapat 2 jenis bahasa pengaturcaraan iaitu yang perlu dikompil (compile - adalah proses penukaran bahasa dari bahasa yang difahami oleh manusia kepada bahasa yang difahami oleh komputer atau dipanggil kod komputer) dan interpreter (yang hanya terus dilarikan sahaja tanpa perlu dikompil). Ada juga jenis yang hidrib iaitu gabungan di antara compiler dan interpreter. Java adalah salah satu yang terlintas di fikiran saya buat masa kini.

Disebabkan kompleksiti yang dihadapi oleh pelajar semasa membuat program, maka ramai pelajar yang patah semangat di tengah jalan. Disebabkan itu, ada di antara mereka yang mengubah haluan semasa belajar dengan bertukar kepada kursus yang lain. Ada juga di antara mereka yang tamat pengajian dengan Ijazah Sains Komputer tetapi bekerja di dalam bidang yang lain. Apabila ditanya maka jawapan yang diterima adalah tidak mahu membuat program. Perkara ini membuatkan negara kita kerugian dari segi wang ringgit, masa dan tenaga dalam melatih pelajar-pelajar ini. Disebabkan itu kita masih tidak lagi mampu mengisi kekosongan jawatan dalam bidang ini kerana ramai graduan kita yang tidak mahu membuat program setelah bekerja.

Dalam artikel yang seterusnya, saya akan cuba menerangkan konsep SDLC secara am.

1 comment:

Anonymous said...

nak tau tak kenapa aku tak suka kebanyakan fresh grad bidang IT sekarang ni...

keje teruk sikit jek dah nak resign....

benci betul la... sia2 jek belajar kat u...

semua takmo buat coding... takut konon...

padahal bukan aaa susah mana pun... kalau susah, baik dr awal jgn amik kursus IT... ingat keje IT ni senang2 mcm bg cantik blog ke...

--- sori mie, lepas geram sket... ekekkeke.... assistant aku dah tender resignation letter...

--- luahan hati drp programmer yg dah genap 6 thn bergelumang dlm kerjaya IT....