xxx 1 : Amaran Nujum

Kedatangan malam membawa keheningan yang mendamaikan. Di sini dan sana terdengar bunyi cengkerik berkicauan yang dapat melelapkan mata si pendengar. Kadang kala terdengar teriakan si burung hantu yang dikatakan memanggil bulan purnama.

Namun keheningan dan kedamaian yang meliputi suasana malam tidak dapat menenangkan tidur si nujum yang sedang dilawati oleh mimpi mengerikan. Mimpi peperangan yang akan datang melanda Melaka. Teriakan dan erangan pahlawan-pahlawan Melaka yang terkorban mempertahankan negara tercinta dari ditakluki oleh satu bangsa asing.

Peluh dingin membasahi badan si nujum. Dia cuba memusingkan badan untuk menghilangkan mimpi yang sedang melanda. Namun usahanya gagal.

Si nujum kemudiannya tersentak. Mungkin disebabkan mimpi atau sebaliknya hanya si nujum yang tahu. Dicubanya untuk tidur kembali tetapi gagal...

* * *

"Dato' Nujum datang mengadap".

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik datang mengadap Tuanku".

"Dato' Nujum, apakah gerangan perkhabaran yang Dato' bawakan untuk Beta?", titah Sultan Melaka.

"Ampun Tuanku harap diampun. Perkhabaran yang patik bawakan ini hanyalah untuk Tuanku, Dato' Bendahara, Temenggung Seri Bijaya dan Laksamana Hang Tuah, sahaja Tuanku."

"Memanda Bendahara?" soal Sultan Melaka kepada Dato' Bendahara."

"Dengan izin Tuanku kita tangguhkan urusan pagi ini ke keesokan hari. Lagipun tiada urusan yang amat penting pada hari ini, Tuanku."

"Baiklah kalau begitu. Dato'-dato' semua, tinggalkan beta dengan Dato' Bendahara Tun Perak, Dato' Temenggung Seri Bijaya dan Dato' Laksamana Hang Tuah. Panglima Awang Ngah?"

"Ampun Tuanku", sembah Dato' Panglima.

"Arahkan hulubalang yang berkawal Seri Balai dan Balairung meninggalkan tempat kawalan mereka buat sementara.", titah Sultan.

"Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun. Titah Tuanku akan patik laksanakan".

Maka, bergeraklah pembesar-pembesar Melaka, panglima, hulubalang dan sida-sida meninggalkan Seri Balai dan Balairung Istana Melaka. Sepilah Seri Balai dan Balairung.

"Dato' Nujum, berilah perkhabaran tersebut", titah Sultan apabila hanya mereka yang berkenaan sahaja yang ada di Seri Balai.

"Adalah pada malam tadi, patik mendapat firasat bahawa negara kita ini akan didatangi oleh bangsa asing."

"Itu tidak pelik Dato' Nujum. Pelbagai bangsa asing datang ke Melaka", celah Dato' Bendahara.

"Itu hamba tahu Dato' Bendahara, akan tetapi bangsa asing ini bukanlah dari Tanah Arab atau dari Tanah Besar China atau dari India. Bangsa asing ini adalah lebih jauh lagi. Mereka datang bukan untuk berniaga tetapi untuk menakluk", jelas Dato' Nujum.

"Siapakah mereka Dato'?" soal Sultan.

"Patik kurang pasti Tuanku, tetapi mereka datang dengan satu armada kapal laut yang dilengkapi dengan meriam Tuanku. Meriam mereka jauh berbeza dari yang kita biasa lihat di atas kapal perang Negara China. Sudah banyak tempat mereka takluki. Mereka datang untuk berperang Tuanku."

Masing-masing terdiam mendengarkan berita Dato' Nujum. Perkhabaran yang amat berat untuk Melaka yang amat kecil jumlah hulubalang yang menjaga keamanan negara. Sultan Melaka mengeluh panjang.

"Dato' Laksamana, berapakah jumlah kapal yang ada di bawah armada kita?" tanya Sultan.

"Ampun Tuanku, jika dikira kapal yang kita pinjamkan ke armada negeri Kedah, Johor dan Pahang, lebih kurang 30 buah, Tuanku", jawab Dato' Laksamana.

"Adakah kita dapat menambah jumlah kapal dan hulubalang dalam tempoh 4-5 purnama ini?"

"Ampun Tuanku, kapal yang dapat dibina amat terhad pada masa sekarang Tuanku. Hal ini disebabkan dermaga kita digunakan oleh saudagar-saudagar bagi memperbaiki kapal mereka. Hanya dermaga di Batu Gajah yang dapat membina kapal kita buat masa sekarang. Latihan untuk hulubalang pula tidak dapat dipercepatkan kerana Hang Lekir dan Hang Kasturi dihantar ke negeri Pahang untuk melatih hulubalang di sana", jawab Dato' Bendahara.

"Amatlah berat perkhabaran ini. Esok apabila matahari terbit, kita bersidang di bilik bacaan beta. Dato' Bendahara, tangguhkan segala urusan beta pada esok hari."

"Ampun Tuanku, titah Tuanku akan patik laksanakan."

"Baiklah Dato' sekalian. Dato'-dato' bolehlah kembali ke kediaman masing-masing. Dato' Bendahara, iringi beta seketika. Ada perkara yang beta ingin bincangkan", titah Sultan.

"Ampun Tuanku, patik sekalian minta beransur diri".

No comments: