Makluman terkini senarai permohonan masuk ke USM

Keadaan kelam kabut tadi di USM disebabkan kesilapan teknikal dalam proses kemasukan data pelajar yang berjaya masuk ke USM. Sehubungan dengan itu, satu email telah dihantar kepada semua staf USM untuk menjawab persoalan tersebut. Kenyataan tersebut turut disiarkan di laman rasmi USM.

Terdapat kesilapan teknikal dalam pengumuman senarai calon yang diterima masuk untuk mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) seperti yang dipaparkan dalam laman web rasmi USM (https://pohon.usm.my), atau pohon@USM pada 29 Mei 2009.

Walau bagaimana pun, apabila menyedari tentang kesilapan yang terjadi, data pada laman web tersebut dibetulkan semula dengan memasukkan senarai yang betul pada 30 Mei 2009.

Hal yang sangat dikesalkan ini terjadi apabila secara teknikal data yang dimasukkan adalah meliputi keseluruhan 8,173 calon yang sebenarnya adalah hanya berasaskan kepada kriteria minimum keperluan mengikut program pengajian di USM.

Jumlah sebenar yang berjaya dipilih setelah dilakukan pemilihan terakhir pada 26 – 28 Mei lalu ialah hanya 3,599 calon berasaskan kepada kelayakan setiap program yang terdapat di USM.

Pada umumnya calon-calon kemasukan ke USM yang dipilih perlu melalui beberapa tapisan dari Ujian MUnsyI pada 18 April lalu, sesi temuduga untuk program-program tertentu di seluruh negara sehinggalah kepada pemilihan kemasukan yang dibuat oleh pihak Universiti yang melibatkan semua dekan pusat pengajian USM.

Namun begitu, calon-calon yang layak juga dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala surat rasmi akan dihantar di samping panggilan telefon yang akan dilakukan nanti. Mereka yang menerima SMS tersebut adalah kumpulan sebenar yang berjaya mendapat tempat di USM.

Calon-calon yang dipilih diberi masa menjawab menerima atau tidak tawaran yang dibuat dalam masa 2 hari kerana mereka yang menolak tawaran atau gagal diterima masuk ke USM akan diserahkan semula ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Kementerian Pengajian Tinggi (UPU) untuk membolehkan mereka dipilih mengikuti pengajian di universiti lain yang bersesuaian.

Universiti amat kesal dengan kesilapan yang tidak disengajakan ini dan memohon maaf kepada semua. Universiti akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Unit Kemasukan dan pengambilan, Universiti Sains Malaysia (USM) di talian 04-653 3141, 3327, 3478, 3697, 1300 888 USM atau e-mel: admissions@notes.usm.my.

Walaupun kenyataan rasmi telah dikeluarkan namun masih ramai ibu bapa yang menyalahkan pihak USM. Walaupun perkara sebenar telah dimaklumkan namun masih ramai yang menunding jari kepada pihak USM. Jumlah sebenar yang tidak disenarai pendek adalah 8173 dan kesemua 8173 jika melihat status mereka pada hari Jumaat 29 Mei 2009 selepas jam 5.10 petang akan memaparkan mereka disenarai pendek dan berjaya masuk ke USM. Setelah kesilapan tersebut diperbetulkan hanya 3599 calon yang berjaya masuk ke USM. Hal ini bermakna 4574 orang yang dikatakan berjaya sebenarnya tidak terpilih masuk ke USM dan bukannya 1300 orang seperti yang dilaporkan oleh Sin Chew Daily dan The Star.

No comments: