Perkomputeran Maya I : Perkomputeran Maya Secara Am

Pengenalan

Perkomputeran maya (virtualization) merupakan suatu teknologi yang membenarkan sesuatu komputer fizikal (PC, notebook, server) mempunyai lebih dari satu sistem pengoperasian dan boleh berfungsi pada masa yang sama. Hal ini bermakna sistem pengoperasian ini berkongsi menggunakan CPU, RAM, ruang storan, kad grafik, kad audio, kad rangkaian dan lain-lain pada masa yang sama.

Terdapat beberapa perisian yang boleh menyokong perkomputeran maya ini. Antaranya adalah VMware vSphere, Microsoft HyperV, RedHat KVM, Oracle VirtualBox, VMware Workstation, Citrix XenServer dan lain-lain lagi.  

Apakah perkomputeran maya?
Secara ringkasnya, perkomputeran maya merupakan satu sistem pengoperasian (di dalam server) atau sistem aplikasi (di dalam PC, notebook) yang membenarkan komputer maya dicipta. Di dalam bahasa perkomputeran maya, ianya dikenali sebagai hypervisor. VMware vSphere dan Microsoft HyperV merupakan antara hypervisor yang banyak digunakan dan peneraju utama di dalam perkomputeran maya. Di dalam perkomputeran maya dipecahkan kepada dua iaitu full virtualization (VMware vSphere) dan paravirtual (RedHat KVM). Di dalam artikel ini saya akan lebih menjurus kepada full virtualization dan bukannya paravirtual.

Jika anda tidak menggunakan perkomputeran maya, setiap server hanya mempunyai satu sistem pengoperasian dengan beberapa aplikasi. Malah ada server-server yang hanya mempunyai satu aplikasi. Sebagai contoh, web server dan server pangkalan data. Di dalam perkomputeran maya, server-server ini boleh diletakkan di dalam satu server dan akan berinteraksi dengan hypervisor untuk mengakses kepada perkakasan fizikal yang terdapat di dalam server tersebut. Server-server maya ini dikenali sebagai virtual machines atau di kalangan pentadbir perkomputeran maya ianya dipanggil vm. Untuk server fizikal yang mempunyai hypervisor ianya dikenali sebagai esxi host (utk VMware vSphere) atau hyperv (untuk Microsoft HyperV).  

Apakah hypervisor?

Hypervisor merupakan satu sistem pengoperasian yang digunakan bagi membolehkan interaksi di antara server-server maya dan perkakasan di dalam server fizikal berlaku. Hypervisor ini juga akan 'melihat' dan merekodkan setiap aktiviti server-server maya yang terdapat di dalamnya. Disebabkan hypervisor akan melakukan pelbagai aktiviti bagi menyokong server-server maya, adalah tidak disarankan untuk memasang pelbagai perisian atau aplikasi ke dalam hypervisor ini. Segala interaksi di antara pentadbir dan hypervisor adalah melalui satu antaramuka terpusat (VMware vCenter atau Microsoft System Center Virtual Machine Manager - SCVMM).

Apabila saya menjurus ke dalam bidang ini, saya tertanya-tanya bagaimanakah hypervisor boleh memberikan perkakasan yang sama kepada server-server maya ini? Hal ini terjawab selepas saya menjadi pentadbir kepada perkomputeran maya. Hypervisor akan membuat perkakasan maya dan di'beri'kan kepada server-server maya. Bergantung kepada perkakasan yang diminta, ianya merangkumi CPU, RAM, Hard disk, IO dan lain-lain. Namun begitu ianya mempunyai had tertentu. Sebagai contoh, ruangan storan yang diberi adalah bergantung kepada ruangan storan fizikal yang terdapat di dalam server. Begitu juga dengan RAM dan IO. Ianya tidak akan melebihi nilai yang ada di dalam server fizikal. Namun begitu, teknologi terkini membenarkan ruangan storan diberi melebihi dari ruangan storan fizikal (thin provisioning), namun ianya masih tertakluk kepada ruangan storan fizikal. Begitu juga dengan RAM. Ada teknologi dikenali sebagai Memory Overcommit yang membenarkan RAM diberi kepada server maya melebihi RAM di dalam server fizikal. Namun teknologi ini bergantung kepada ruang storan yang terdapat di dalam server fizikal dan tidak melebihi 2x dari nilai RAM (kerana ianya bergantung kepada teknologi paging yang ada di dalam sistem pengoperasian).

Agak mengelirukan bukan? Ikut tips ini :
1. Jumlah RAM di dalam server maya < dari jumlah ram di dalam server fizikal
2. Jumlah ruang storan di dalam server maya (thin provisioning) < 200% dari jumlah ruang storan di dalam server fizikal  

Apakah manfaat jika saya ingin pergi ke perkomputeran maya?
1. Server dapat di'consolidate'. Untuk kes saya, perkomputeran maya saya mempunyai 171 server maya di dalam beberapa esxi host.
2. Ruang dapat dijimatkan. Saya telah membuat p2v (physical to virtual) lebih kurang 30-40 server yang ada di dalam Pusat Data yang dikendalikan oleh pasukan saya.
3. Mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Dengan pengurangan bilangan server tenaga elektrik yang digunakan akan berkurangan.
4. Menyenangkan proses ke perkomputeran awan (cloud computing).  

Kelemahan perkomputeran maya
1. Kos permulaan yang tinggi (high upfront cost) yang mungkin menyebabkan pengurusan berat hati untuk membenarkan perlaksanaan projek perkomputeran maya
2. Terlalu banyak perkakasan yang perlu dikendalikan berbanding cara lama (server, storage, network switch, storage switch, fiber card, network cabling)
3. 'High learning curve'. Hal ini kerana pentadbir perkomputeran maya bukan sahaja perlu mengetahui tentang server malah storage, operating system, scripting, networking operational & theory, dan lain-lain.

Akan datang - Perkomputeran Maya II : Persediaan Sebelum Ke Perkomputeran Maya

No comments: