Perkomputeran Maya II : Persediaan Sebelum Ke Perkomputeran Maya

Pos ini jika anda masih menggunakan server-server fizikal di dalam organisasi anda.

Apakah yang perlu saya lakukan sebelum pergi ke perkomputeran maya?
Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk ke perkomputeran maya
1. Membuat inventori server semasa yang meliputi FQDN server, IP server, tujuan, pengguna server tersebut, bilangan CPU, jumlah RAM, saiz hard disk yang digunapakai, jumlah saiz hard disk yang ada,  dan sistem pengoperasian yang digunakan.
2. Menentukan teknologi yang anda ingin gunakan. Jika 80%-90% server anda merupakan server Windows, anda boleh menggunakan Hyper-V. Jika 80%-90% server anda merupakan server Linux, anda boleh menggunakan KVM atau VMware. Hal ini kerana, untuk menjimatkan penggunaan lesen.
3. Memastikan anda mempunyai server fizikal yang tidak digunakan atau yang boleh digunakan kembali sebagai server maya.

Server fizikal bagi menghoskan perkomputeran maya
Jumlah server fizikal yang akan digunakan bagi menghoskan perkomputeran maya adalah bergantung kepada jumlah server yang anda ada sekarang dan yang anda rasakan akan digunakan pada masa yang akan datang. Ia juga perlu mengambil kira jika anda ingin menggunakan ciri-ciri 'high availability' di dalam perkomputeran maya.

Bagi yang sukar membuat keputusan, biasanya server fizikal bagi perkomputeran maya perlu ada 3 server yang mempunyai spesifikasi berikut
1. 2 soket 8 core pemproses
2. 128GB RAM
3. 4 x 1GbE NIC Adapter (lagi baik jika anda ada 10Gb atau 40Gb 'network port')

Ianya juga perlu mempunyai storage terpusat. Tetapi jika anda mengguna hyperconverge, storage terpusat ini tidak perlu. Topik hyperconverge akan dibincangkan kemudian. Anda juga boleh menggunakan teknologi VMware vSAN yang dibina di dalam VMware vSphere 5.5 dan ke atas. Tetapi ianya memerlukan 1 atau 2 unit SSD untuk digunakan oleh VMware vSAN.

Perisian yang diperlukan
Saya tidak akan membincangkan tentang Linux KVM kerana saya tidak pasti teknologi yang digunakan oleh KVM. Saya akan hanya membincangkan tentang Microsoft Hyper-V dan VMware vSphere.

Untuk menggunakan perkomputeran maya, perisian daripada Microsoft Hyper-V, VMware vSphere dan Linux KVM boleh digunakan di dalam infrastruktur anda. Jika anda memilih untuk menggunakan VMware vSphere anda boleh menggunakan sama ada VMware vSphere Standard, Enterprise atau Enterprise Plus. Bagi Microsoft Hyper-V anda boleh menggunakan Windows Standard atau Datacenter. Jika anda menjangkakan bilangan server anda adalah tinggi, elok anda menggunakan VMware vSphere Enterpise/Enterprise Plus atau Windows Datacenter sahaja. Selain itu, faktor seperti vMotion/Live Migration yang membenarkan migrasi server maya dilakukan tanpa memerlukan server tersebut ditutup sepenuhnya (shutdown), atau teknologi 'High Availability' adalah penentu kepada lesen dan perisian yang anda perlu gunakan.

Selain daripada perisian untuk menjadikan server fizikal sebagai menghos server maya, anda perlu juga menggunakan perisian bagi memantau infrastruktur maya ini. Di dalam VMware ianya dikenali sebagai VMware vCenter, manakala untuk Hyper-V anda boleh menggunakan Failover Cluster Manager atau System Center Virtual Machine Manager. vCenter memerlukan pangkalan data MSSQL Enterprise jika anda perlu menyokong lebih dari 3 server hos atau 50 server maya. Untuk SCVMM, pangkalan datanya terbina dalam. Penggunaan perisian pemantauan ini adalah bagi membolehkan anda menggunakan fungsi termaju (advanced features) yang terdapat di dalam teknologi maya ini seperti HA, vMotion/Live Migration, Load Balance/DRS, dan banyak lagi.

Pemasangan
Pemasangan perisian ini sedikit cerewet berbanding dengan perisian biasa. Namun begitu, sila baca manual terlebih dahulu sebelum membuat pemasangan.

Pelan Migrasi
Migrasi dari server fizikal ke server maya boleh dilakukan. Namun begitu, pastikan satu hari anda hanya membuat 4 migrasi sahaja. Hal ini bukan kekangan kepada VMware/Hyper-V tapi dari pengalaman saya sendiri bahawa migrasi ke dalam produksi bakal menyebabkan server-server maya lain turut terjejas prestasinya.

No comments: